Dalam artikel yang lepas, Kaki Pewai sudah bawakkan pilihan tempat menarik untuk hiking di Selangor, kali ini kami bawakkan pula tempat menarik untuk hiking di Negeri Sembilan.
Walaupun kecil, tapi Negeri Sembilan mempunyai tempat hiking yang tidak kurang menariknya. Gunung Angsi merupakan antara tempat hiking di Negeri Sembilan yang popular di kalangan kaki hiking.
Seperti biasa, setiap lokasi pilihan Kaki Pewai merupakan pilihan peribadi kami berdasarkan pengalaman pendakian kami.
Ok dah bersedia?…. Jom…
Lokasi Hiking Di Negeri Sembilan
1- Gunung Telapak Buruk
Gunung Telapak Buruk merupakan puncak tertinggi di Negeri Sembilan dengan ketinggian setinggi 1,193 meter dari paras laut. Gunung ini terkenal kerana terdapat lokasi kapal terbang B24 yang dilaporkan terhempas sekitar tahun 1945 semasa perang dunia ke 2. Sehingga sekarang bangkai pesawat tersebut masih lagi dapat dilihat.
Lokasi gunung ini terletak berhampiran Kampung Ulu Klawang.
2- Gunung Rembau
Gunung Rembau mempunyai ketinggian setingg 884 meter dari paras laut. Seperti namanya, gunung ini terletak di Rembau.
Sebenarnya ada 3 gunung dalam kawasan ini iaitu Gunung Datok, Gunung Gagak dan Gunung Rembau. Kebiasaannya dalam 1 trip, kaki hiker akan memilih untuk mendaki ketiga-tiga gunung sekaligus. Trek pendakian boleh dikatakan moderate di mana trek Gunung Datok agak pacak sedikit dan Gunung Gagak dan Gunung Rembau agak santai.
Kebiasaanya, dari parking kereta ke puncak Gunung Datok mengambil masa 2 jam, dari puncak Gunung Datok ke puncak Gunung Gagak mengambil masa 2 jam dan dari puncak Gunung Datok ke puncak Gunung Rembau mengambil masa 45 minit.
3- Gunung Angsi
Gunung Angsi mempunyai ketinggian setinggi 824 meter dari paras laut. Ini merupakan lokasi paling popular untuk hiking di Negeri Sembilan kerana trek pendakian agak santai. Gunung ini terletak dalam Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah.
Pendakian Gunung Angsi biasanya mengambil masa sekitar 3 jam. Selalunya pendaki akan mendaki Gunung Angsi secara daypack.
Korang perlu mendaftar dengan renjer hutan terlebih dahulu sebelum mulakan pendakian dan buat bayaran RM5.
4- Gunung Tampin
Seperti namanya, Gunung Tampin terletak di dalam daerah Tampin. Gunung ini mempunyai ketinggian setinggi 764 meter dari paras laut.
Gunung ini merupakan pengakhiran kepada banjaran Titiwangsa. Trek pendakian juga agak mudah dan sering juga digunakan sebagai trek berjogging. Pendakian dari kaki gunung Tampin korang hanya perlu jalan mengikut trek jalan tar sahaja sehinggalah sampai ke kolam mandi buatan dan juga menara pemancar Telekom Malaysia.
Bagi korang yang ingin meneruskan perjalanan ke puncak, korang perlu lalui trek hutan. Trek ini agak jarang digunakan, jadi kami cadangkan korang agar bawak juga parang untuk menebas.
5- Gunung Jono
Walaupun kurang popular, Gunung Jono yang terletak kira-kira 10 kilometer dari istana lama Seri Menanti, Kuala Pilah menjanjikan pendakian yang agak mencabar.
Gunung ini mempunyai ketinggian setinggi 640 meter dari paras laut. Jarak pendakian dari kaki Gunung Jono ke puncak dianggarkan sekitar 4km. Gunung ini dikelilingi beberapa bukit seperti Bukit Ulu Pilah, Bertam, Sangkar Puyuh dan Rambai.