Bagi korang yang tinggal di sekitar Perak, tentu korang pernah dengar tempat untuk hiking di Perak ini. Tapi saya nak tanya, korang dah ‘khatam’kan semua dah ke?
Kalau belum, jom baca selanjutnya lokasi hiking di Perak yang menjadi pilihan KakiPewai.com.
5 Tempat Hiking Di Perak
1- Gunung Chabang
Gunung Chabang dengan ketinggian 1,711 meter dari aras laut terletak di Kampung Pos Slim yang berada berdekatan dengan Cameron Highlands.
Pemandangan yang akan dihidangkan adalah panorama Banjaran Titiwangsa yang mempamerkan Korbu, Gayong dan Yong Belar.
Boleh dikatakan trek dakian 80% adalah mendaki. Jadi anda memerlukan stamina yang cukup kuat sebelum mulakan pendakian.
2- Gunung Peninjau
Gunung Peninjau mempunyai ketinggian 1,058 meter dari aras laut terletak di Lata Ulu Chepor, Chemor.
Perjalanan pendakian, korang akan terhibur dengan bunyi unggas di selang-seli dengan bunyi air terjun Ulu Chepor. Korang boleh hilangkan penat dengan berehat sekejap di air terjun ini.
Di permulaan pendakian, laluan agak landai. Selepas checkpoint pertama, bermulalah pendakian yang tegak. Bagi korang yang kurang stamina, rehat lama sikit di sini.
Keseluruhan pendakian boleh mengambil masa 5 jam. Jadi korang perlu bawa bekalan air secukupnya.
3- Gunung Bubu
Gunung Bubu merupakan salah satu gunung tertinggi di Daerah Kuala Kangsar. Terdapat pelbagai flora dan fauna yang menjadi sumber rujukan bagi Jabatan Perhutanan dan Perhilitan selain dari keindahan alam semulajadinya sendiri. Sesuai dijadikan lokasi perkelahan kerana terletak di Hutan Lipur Ulu Kenas, dan mempunyai beberapa air terjun yang menjadi pilihan pendaki sebagai lokasi istirehat yang unik.
Bermula dari kaki gunung di Sungai Kenas, korang akan berjalan melalui trek balak lama selama 40 minit sebelum memasuki simpang untuk menyusur ke Kem Sungai Ganding. 2 jam berjalan, korang dihiburkan dengan suasana sungai yang jernih dan ikan tengas yang jinak di Kem Sungai Ganding. Selalunya hiker akan makan tengahari disini. Apa yang unik, terdapat sebuah batu di tengah-tengah sungai yang terbentuk menghala ke arah kiblat, bagi kaum muslimin, anda boleh menunaikan solat di atas batu ini.
Selesai makan tengahari, pendaki boleh terus ke Kem Tali yang terletak lebih kurang 3 jam dari kem tadi. Oleh kerana muka buminya sedikit mencuram, maka perjalanan boleh jadi sedikit lambat. Disini selalunya pendaki akan mendirikan khemah untuk tidur 1 malam.
Puncak Bubu terletak lebih kurang 3 ke 4 jam dari Kem Tali, terdapat sumber air terakhir 1 jam sebelum tiba di puncak. Puncak Gunung Bubu terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Bubu Timur dan Bubu Barat. Kawasan kem di puncak Bubu sangat cantik dengan dihiasi lumut yang menghijau dan bunga orkid yang hanya hidup di kawasan puncak gunung.
Gunung Bubu mempunyai ketinggian 1,657 meter dari aras laut.
4- Gunung Semanggol
Gunung Semanggol terletak di daerah Kerian, tidak jauh dari bandar Taiping, Bagan Serai dan Parit Buntar. Gunung Semanggol terletak berhampiran dengan Ulu Sepetang dan Kampung Sera, berketinggian setinggi 390 meter dari aras laut.
Pemandangan di atas Gunung Semanggol adalah menakjubkan yang meliputi 360 darjah. Dari puncak anda boleh melihat Bukit Merah Lake Town, Bukit Larut dan pemandangan sawah padi terbentang luas di bawahnya.
5- Bukit 300
Bukit 300 merupakan bukit yang cukup popular di kalangan penduduk tempatan. Ini kerana keadaannya yang cukup santai bagi mereka yang ingin hiking.
Nama Bukit 300 diambil daripada tingginya 300 meter dari aras laut dan mempunyai sembilan check point yang sentiasa kelihatan semasa mendaki. Tapi bagi korang yang baru mula mendaki, mungkin korang akan sedikit diuji dengan keadaan laluannya yang kelihatan seakan mencabar hingga ada yang boleh berputus asa.
Bukit ini cukup sesak pada hujung minggu.